Kesal ruang solat dijadikan pusat vaksinasi

0
1

PENDAKWAH, Ahmad Husam Baderudin kesal apabila ruang solat masjid dijadikan pusat vaksinasi.

Ia susulan gambar yang tular di media sosial menunjukkan orang ramai diberi suntikan vaksin dalam ruangan solat di rumah ibadat umat Islam itu, baru-baru ini.

Tidak dapat dipastikan bila gambar tersebut dirakam serta di mana lokasi ia berlaku.

Ahmad Husam berkata dalam apa juga keadaan dan aktiviti di dalam masjid, adab dan tatacara perlu diperlihara demi menjaga kesucian rumah Allah.

“Foto ini telah mengguris hati umat Islam, di saat umat Islam berhadapan dengan kekangan prosedur operasi standard (SOP) yang pelbagai untuk ke masjid, tiba-tiba foto seperti ini pula tersebar.

“Kita boleh mengadakan pelbagai aktiviti di masjid, adab-adab wajib dipelihara.

“Pihak berwajib perlu mengadakan garis panduan tatacara penggunaan masjid agar kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim dilaporkan berkata ruang solat di dalam masjid tidak boleh dijadikan sebagai tempat suntikan vaksin Covid-19.

Ahmad Amzad berkata, beliau menerima maklumat ada negeri telah memulakan Program Pemberian Vaksin (PPV) di masjid tanpa merujuk SOP kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Katanya, PPV masjid boleh dibuka hanya jika kemudahan bersesuaian namun bukan di ruangan solat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here