MALIM atau penunjuk arah Gunung Kinabalu menzahirkan perasaan gembira kerana diberi keutamaan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Ia akan membolehkan mereka berada dalam keadaan bersiap sedia untuk membawa mendaki mendaki Gunung Kinabalu sebaik ia dibuka semula tidak lama lafi.
Menurut Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu (PEMANGKINA), Danson Bulangai pemberian suntikan vaksin Covid-19 amat dinantikan oleh ahli-ahli persatuan itu.
“Kami menghantar permohonan dengan sokongan Taman-Taman Kinabalu untuk mempercepatkan proses vaksin melibatkan seramai 289 orang malim Gunung Kinabalu.
“Daripada jumlah itu, beberapa ahli telah menerima suntikan vaksin melalui panggilan temujanji daripada pendaftaran aplikasi MySejahtera dan ada juga ahli yang berdaftar dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Kami amat bersyukur kerana permohonan diterima dan lebih 200 malim gunung menerima suntikan vaksin Covid-19 ini,” katanya dalam Program Penyerahan Sumbangan kepada Malim Gunung dan Vaksinasi Petugas Gunung Kinabalu di Ranau, semalam.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Ranau, Dr Fionna Vincent Bizini berkata, kerjasama yang diberikan amat memberangsangkan kerana senarai nama yang diterima bagi permohonan itu semakin bertambah.
“Kita menerima senarai terkini daripada permohonan itu dan dapat dilihat senarai nama yang diberikan meningkat, menunjukkan sambutan bagi pemberian vaksin dalam kalangan malim gunung adalah amat baik.
“Sekiranya masih ada yang tercicir dari menerima suntikan hari ini (semalam), kita berharap jumlah peruntukan dos vaksin dapat ditambah dalam memastikan mereka semua lengkap vaksin Covid-19 sebelum sektor pelancongan beroperasi semula.
“Perkara ini penting kerana tugas mereka berhadapan dengan pelancong dari dalam dan luar negara yang mungkin tidak diketahui status kesihatan mereka,” jelas beliau.
Pada program itu, PEMANGKINA turut menerima sumbangan RM30,000 daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar manakala Persatuan Porter Gunung Kinabalu menerima peruntukan RM20,000 daripada Taman-Taman Sabah.
Sumbangan tersebut disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang turut menyerahkan bantuan tunai RM300 secara sekali bayar kepada 290 orang malim gunung. – Malaysiapost

