KADAR vaksinasi harian Covid-19 negara menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melepasi 300,000 dos sehari, semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah vaksinasi yang dicatatkan di seluruh negara semalam adalah sebanyak 376,909 dos.
“PICK yang diterajui Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) kini telah berjaya meningkatkan kadar vaksinasi harian tersebut dalam sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri merujuk kenyataan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), bahawa jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos 1 dan 2 di seluruh negara setakat ini adalah 10,413,270 dos.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan meminta orang ramai mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera atau pendaftaran melalui laman sesawang vaksincovid.gov.my atau di talian hotline 1-800-88-8828.
“Selain itu, pendaftaran secara manual juga telah diperkenalkan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan terus komited dalam memastikan program vaksinasi berjalan lancar serta akan berusaha sebaik mungkin bagi mempercepat pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia. – Malaysiapost

