AHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mempertikaikan kenyataan berhubung Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kekal menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau juga merupakan Ahli Parlimen BN, namun tidak mengetahui dari mana kenyataan itu dibuat.
Justeru, beliau meminta pihak yang mengeluarkan kenyataan itu menyenaraikan nama-nama mereka yang menyokong itu.
“Eh.. saya pun Ahli Parlimen BN. Sejak bila saya setuju langgar arahan MKT parti semalam?
“Siapa ada senarai penuh nama-nama yang dimaksudkan dalam kenyataan yang dikeluarkan entah pihak mana ini?,” soalnya menerusi Facebook.
Tambahnya, beliau yang menandatangani watikah pencalonan bagi setiap Ahli Parlimen BN yang ada hari ini, jadi beliau akan tahu siapa yang menyokong.
“Sebab itu, saya tentu akan kenal nama setiap orang Ahli Parlimen BN. Sila beri senarai nama,” katanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli-ahli Parlimen BN membuat keputusan untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi membela rakyat.
Sokongan itu adalah usaha memastikan agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat direalisasikan dengan keyakinan bahawa rakyat akan kembali menjalani kehidupan normal. – Malaysiapost
Artikel berkaitan

