Bekas ratu cantik tumbuk, rempuh polis ditahan

0
1

BEKAS ratu cantik negara ditahan selepas bertindak menumbuk anggota polis dan merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Persekutuan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, suspek berusia 28 tahun itu bertindak agresif dipercayai akibat mabuk dan pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, wanita berkenaan memandu kenderaan bersama rakannya dari arah Kuala Lumpur ke Petaling Jaya.

“Namun, sebaik tiba di SJR Lebuhraya Persekutuan, suspek tidak memberhentikan kereta, sebaliknya merempuh sekatan itu.

“Susulan itu, anggota kereta peronda polis (MPV) mengejar kenderaan suspek sebelum berjaya menahannya,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Mohamad Fakhruddin berkata, suspek bagaimanapun menumbuk anggota polis itu ketika cuba ditahan.

“Turut cedera rakannya akibat dipukul suspek yang dipercayai mabuk. Wanita itu berjaya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

“Suspek kini ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis, Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Beliau berkata, hasil saringan awal ujian air kencing terhadap suspek dan rakannya mendapati mereka positif ganja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here