MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno digesa menggantung tugas Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Gesaan itu dibuat Ketua Umno Bahagian Bakri, Mohd Fuad Tukirin yang berkata mesyuarat yang dijadual malam ini adalah platform terbaik untuk MKT meneliti semula beberapa tindakan Ahmad Zahid sebelum ini.
“Ini memerlukan jiwa besar MKT untuk memperbaiki Umno kepada landasan sebelum ini.
“Presiden perlu digantung sementara tugasnya supaya MKT menilai semula perkara-perkara yang telah dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno lalu,” katanya memetik MalaysiaGazette.
Semalam, media melaporan MKT akan mengadakan mesyuarat secara maya malam ini bagi membuat keputusan sama ada kekal atau meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Mesyuarat itu dijangka memberi tumpuan kepada usaha membawa keluar Umno daripada PN bagi membolehkan sebuah kerajaan baharu dibentuk yang dinamakan Jajaran Harapan.
Mohd Fuad berkata, gesaan beliau itu hadir selepas media melaporkan Ahmad Zahid mengakui bahawa suara di dalam rakaman telefon yang tular bersama Presiden PKR sebelum ini adalah suaranya.
“Perkara ini sebenarnya kena dibicarakan untuk mencari jalan penyelesaian, apabila Presiden mengaku (suaranya dalam audio bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim) maksudnya dari segi integriti sudah tidak boleh dipercayai lagi untuk (pemilihan) akan datang,” katanya lagi.
Beliau melahirkan rasa bimbang akan wujud satu perjanjian sulit antara bekas Timbalan Perdana Menteri itu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentuk satu jajaran baharu.
Jelas beliau, sekiranya rakaman perbualan telefon itu benar-benar tulen, ia sangat menyedihkan kerana itu bukti jelas Ahmad Zahid seolah-olah telah menipu dan mengkhianati seluruh ahli Umno.
Sebelum ini, Ahli MKT Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi yakin parti itu akan keluar serta menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.
Terbaharu, Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendedahkan Ahmad Zahid menggunakan alasan kegagalan Umno dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebagai asas parti itu mahu menarik sokongan daripada kerajaan PN. – Malaysiapost

