Covid-19: Tren kemasukan ICU masih tinggi, membimbangkan

0
1

TREN kemasukan kes Covid-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) amat membimbangkan kerana masih berada pada tahap tinggi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ia tidak menunjukkan penurunan yang ketara sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 iaitu dari 6 Jun hingga 12 Jun lalu dan kini jumlah penggunaan katil ICU masih melebihi 90 peratus.

Katanya, jumlah purata kes baharu harian selama tujuh hari iaitu dari 30 Jun hingga 6 Julai lalu adalah sebanyak 6,539 kes.

“Justeru, ini didapati masih tinggi berbanding nilai ambang Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu kurang daripada 4,000 kes sehari atau 12.2 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk.

“Negeri yang mencatatkan bilangan kes baharu melebihi nilai 12.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk adalah Wilayah Persekutuan Labuan, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Sarawak dan Pahang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sehingga kini, empat negeri menunjukkan peningkatan kes harian baharu melebihi kapasiti maksimum hospital di negeri tersebut iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya, kes harian baharu yang dilaporkan tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan malah kes meningkat secara purata 2.6 peratus selama tujuh hari kebelakangan ini.

“Jika situasi ini berterusan, sistem kesihatan di negeri-negeri tersebut akan lumpuh dan seterusnya situasi yang sama bagi seluruh negara mungkin berlaku,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here