KETUA Penerangan PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai menyelar Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana didakwa gagal membela nasib tujuh beranak yang terpaksa tinggal dalam kereta kerana tiada tempat berteduh.
Muhamad Arafat berkata, Hamzah yang memegang portfolio penting dalam kerajaan jelas terlepas pandang masalah rakyat dalam kawasannya kerana sibuk berpolitik.
“Kawasan ini Parlimen Larut, Ahli Parlimennya seorang menteri kanan, DUN Selama yang mana Adunnya seorang Exco. Kerajaan Melayu Islam, tapi lihat keadaan orang Melayu di sini.
“Kita bantu apa yang kita boleh bantu. Kita ucap terima kasih kepada Anwar Ibrahim yang mengarahkan untuk mendapatkan rumah dan beliau telah menyumbang untuk mendapatkan rumah sewa ini,” katanya kepada media di Larut, hari ini.
Katanya, pihaknya akan menyewa kediaman berkenaan kepada keluarga terbabit selama tiga bulan sebelum mendapatkan penempatan sewajarnya.
Beliau juga akan memohon bantuan untuk keluarga orang kurang upaya (OKU) itu daripada menteri besar Perak.
Dalam pada itu, Saliza Samat, 38, serta suami, Mohd Hazrul Haris, 43, bersama lima anaknya menjalani kehidupan dengan bermalam dan berhimpit dalam Proton Wira sepanjang tiga hari.
Mereka menjadikan kereta berkenaan sebagai tempat tinggal sementara bersama lima anak berusia dua tahun hingga 15 tahun.
Episod malang itu, katanya, bermula apabila mereka sekeluarga yang sebelum ini menetap di Kuala Selangor, nekad berhijrah ke kampung halaman Mohd Hazrul di Ulu Mengkuang sejak setahun lalu.
“Namun kami kemudian keluar daripada rumah keluarga demi kebaikan semua.
“Kami keluar dari rumah Khamis lalu. Sejak itu, kami tujuh beranak bermalam dalam kereta selain menjadikan sungai serta stesen minyak sebagai lokasi untuk mandi, solat dan sebagainya,” katanya.
Saliza berkata, keadaan lebih sukar apabila Mohd Hazrul yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori tidak bekerja sejak dua tahun lalu berikutan kecacatan fizikal dan mental dialami manakala dia hanya suri rumah.
“Kami sedih mengenangkan nasib ini yang turut perlu dilalui anak-anak, syukur kerana anak faham.
“Syukur juga kerana ada pihak yang prihatin dengan keadaan kami datang menghulurkan bantuan dengan menyediakan tempat berteduh sementara hingga hari ini,” katanya. – Malaysiapost

