UMNO kini hanya menunggu keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu memuktamad tarikh untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sudah lama ahli Umno menunggu parti untuk membuat keputusan berkenaan.
“Sudah tentu ahli Umno paling excited. Mereka tunggu sekian lama parti buat keputusan. Sebab itu usul “pull the plug” lulus sebulat suara di PAU UMNO 2020.
“Apakah ada yang marah? Sudah tentu. Terutama yang tidak mahu Kerajaan PN rebah. Mereka akan “spin” kononnya rakyat marah. Mereka tuduh Umno gila kuasa.” katanya dalam hantaran Facebook.
Mohd Puad berkata, PN lupa bahawa Umno sebelum ini tetap menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri walaupun beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad terlibat menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Katanya, malah, Umno berlapang dada apabila lantikan Menteri tidak ikut hiraki parti dan ‘Kumpulan katak’ dari parti itu semuanya diberi jawatan.
“Sebab itu tidak ada sebab untuk marah pada Umno. 15 bulan Umno beri peluang kepada PN untuk memerintah. Bukan Umno sahaja yang kata Kerajaan PN gagal tetapi semua pihak termasuk rakyat.
“Sebab itu keputusan Umno adalah tepat. Memang ada yang risau Umno pull the plug. Mereka ini sama ada di dalam atau di luar Umno risau hilang jawatan dan keistimewaan.
“Keistimewaan yang paling penting ialah perisai daripada tindakan SPRM dan LHDN. Sebab itu ada yang sanggup jadi power broker dan jual parti,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, tindakan Umno menarik sokongan terhadap PN dibuat demi rakyat kerana sudah ternyata kerajaan hari ini gagal.
“Sudah tentu ramai yang takut bila Umno ‘pull the plug’. PM 8, geng Azmin, kluster katak dari Umno dan Bersatu. Kerajaan PN boleh tumbang bila bila masa.
“Kerajaan hari ini gagal. Umno tidak mahu terus terpalit dengannya. Umno mesti tinggalkan kerajaan yang tidak cekap kerana dasar dan cara yang terbukti salah,” katanya. – Malaysiapost

