PARTI Putra Perkasa Negara (PUTRA) menjangkakan Umno akan menoktahkan sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN), esok.
Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, firasatnya terhadap kerjasama Umno dengan kerajaan PN terlerai esok berdasarkan tindak tanduk Umno yang tidak mahu dilihat flip flop dalam menentukan kedudukannya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menguatkan lagi firasatnya, Ibrahim menjelaskan, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah pun mendapat lampu hijau daripada ketetapan yang dibuat pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) Mac lalu, yang membolehkan beliau menarik sokongan terhadap kerajaan PN.
“Esok bertarikh 7.7.2021, iaitu tempoh tarikh 14 hari yg di muktamadkan olih Presiden Umno dengan sokongan majoriti MKT (Majlis Kerja Tertinggi) Umno untuk mengumumkan keluar daripada Kerajaan PN.
“Kenapa saya berpendapat demikian. Sebabnya nahkoda kapal tidak mampu lagi dengan kapalnya yang terus dilambung ombak dan dikatakan flip flop.
“Presiden Umno sudah ada watikah untuk keluar dari PN dari mandat PAU 2020 dan keputusan majoriti MKT Umno,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ibrahim juga menambah, rakyat telah muak dan bosan dengan permainan politik dalam kerajaan PN ketika mereka bergelut melawan pandemik Covid-19 sejak lebih setahun yang lalu.
“Berbagai spekulasi kita baca dalam media sosial dan ulasan serta berbagai propaganda politik olih pihak yang berkepentingan, serta berita hangat pertemuan-pertemuan pemimpin Umno dan para MP Umno, siang dan malam di musim PKP, namun saya percaya esok 7.7.2021, Presiden Umno akan umum keluar dari PN. Ini ramalan dan logik akal fikiran politik saya yang cetek.
“Rakyat pun sudah naik jemu riuh rendah politik Umno yang tak sudah sudah. Kerajaan PN pun dalam keadaan kapal yang pecah. Walaupun bermacam pengumuman dengan pelbagai dasar yang diumum, namun pelaksanaannya dan hasilnya menjadi ejekan rakyat.
“Bendera putih, bendera hitam dan ramai yg bunuh diri menyebabkan umum berpendapat kerajaan gagal,” katanya.
Bagaimanapun Ibrahim berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 tidak mungkin dapat diadakan dengan segera akibat Covid-19.
“Jika kerajaan PN runtuh, terpulanglah kepada kebijaksanaan DYMM Tuanku YDPA untuk melantik Perdana Menteri ke-9 untuk memimpin negara.
“Sama-sama kita berdoa semuga DYMM Tuanku Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu bersemayam di singggahsana dengan penuh daulat dan berkat petunjuk Allah, membawa negara keluar dari kemelut politik, melawan Covid-19 dengan berkesan dan memulih ekonomi serta kehidupan rakyat yan sedang menderita. – Malaysiapost

