TINDAKAN Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menyatakan kekecewaan terhadap seorang pemimpin Umno memintanya jangan terlalu percaya dengan sentimen negatif mengenai kerajaan, dilihat mencetuskan ‘peperangan’ dengan ‘orang kuat’ pemimpin terbabit di media sosial hari ini.
Terdahulu beliau menyatakan kekecewaannya dalam satu hantaran di laman Facebooknya selepas berdiskusi dengan pemimpin Umno berkenaan.
“Kecewa betul pagi ini bila berdiskusi dengan seorang pimpinan Umno sendiri yang berjawatan tinggi dalam kerajaan hari ini, katanya “Asyraf, jangan terlalu percaya dengan sentimen di media sosial sebab naratifnya dah dikawal oleh DAP-PH. Realitinya PM dan Kerajaan masih popular di kalangan rakyat akar umbi”.
“Dalam hati saya, cubalah baca setiap komen di posting saya akan rintihan dan keluhan rakyat yang kesempitan adalah Real! Betul ke atau saya yang tertipu?” katanya dalam hantaran itu.
Hantarannya itu kemudian mendapat komen daripada Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz.
Timbalan Ketua Pemuda Umno Putrajaya yang kini digantung keahlian selama enam tahun itu, meminta Asyraf Wajdi supaya tidak bersubahat dengan penipuan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Sebagai orang yang berpendidikan agama, Ketua Pemuda Umno Malaysia tidak wajar bersubahat dengan penipuan Presiden dan usaha Presiden membawa Jajaran Baru dengan Anwar (Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan DAP.
“Kedua, tidak wajar bersubahat dengan kezaliman yang dilakukan oleh Lembaga Disiplin dan pelanggaran peraturan oleh MKT (Majlis Kerja Tertinggi ).
“Ketiga, tidak wajar berpolitik merebut kuasa masa pandemik Covid-19 sedangkan yang perlu diutamakan sekarang adalah usaha menyelamatkan nyawa rakyat, memvaksin dan membantu rakyat,” katanya.
Asyraf Wajdi kemudian dilihat membalas ‘serangan’ itu dengan mengatakan Tun Faisal silap, dan beliau adalah orang pertama yang akan menentang kalau Umno menyokong Anwar.
“Saya orang pertama akan menentang kalau parti nak menyokong Anwar sebagai PM ataupun mewujudkan Kerajaan DAP-PH Lead Government.
“Ini bertentangan dengan pendirian keseluruhan Pemuda 191 Bahagian dan keputusan PAU (Perhimpunan Agung Umno) dan MKT. So jangan cipta persepsi bukan-bukan!” tegasnya. – Malaysiapost

