Suspek bunuh anak saudara disahkan mati di hospital

0
1

BAPA saudara yang menetak anak saudaranya sehingga mati semalam, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tanjong Karang.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed yang berkata, pihak hospital mengambil masa kira-kira 30 minit untuk merawat suspek, namun lelaki berusia 27 tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 6.37 petang semalam.

Katanya, polis menahan suspek di tempat kejadian semalam dan merampas sebilah parang panjang bersamanya.

“Tangkapan awam dilakukan oleh ahli keluarga suspek sendiri. Semasa tangkapan semula dibuat, polis mendapati suspek mengalami kecederaan dipercayai akibat pergelutan antara ahli keluarga dalam usaha untuk menangkapnya.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor untuk tindakan dan siasatan lanjut, namun kira-kira jam 4 petang, suspek didapati dalam keadaan amat lemah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arjunaidi berkata, polis menghubungi hospital dan suspek dibawa ke Hospital Tanjung Karang dengan ambulans.

“Keluarga suspek juga telah dihubungi dan dimaklumkan kejadian itu. Bedah siasat akan dijalankan segera selepas hospital mendapatkan keputusan ujian saringan Covid-19.

“Satu laporan polis dibuat keluarga si mati agar siasatan dilakukan bagi mendapatkan punca sebenar kematian suspek. Susulan itu, JSJ IPK Selangor membuka kertas siasatan dan ditumpukan kepada aspek SOP ‘Duty of Care’ dan kelakuan jenayah semasa mengurus suspek,” katanya.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, pergaduhan keluarga akibat isu kewangan punca seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut ditetak bapa saudaranya di Kampung Parit Mahang Jeram itu.

Katanya, pergaduhan itu melibatkan sesama ahli keluarga suspek dan mangsa.

“Dalam kejadian ini, ibu kepada kanak-kanak berkenaan turut mengalami kecederaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here