PENDUDUK di Perlis akan dibenarkan merentas daerah dalam tempoh Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan keputusan itu dijangka akan diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) nanti.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata beliau telah menyertai Mesyuarat MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dan perkara itu telah dibangkitkan pihaknya.
“Seperti mana yang dibangkitkan oleh ramai netizen, saya telah mencadangkan supaya kebenaran diberikan oleh Kerajaan Pusat untuk membolehkan penduduk Perlis rentas dalam negeri melebihi 10 kilometer (km).
“Alhamdulillah, cadangan ini telah dipersetujui. Kita tunggulah kelulusan ini diberikan secara rasmi oleh MKN nanti,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Menurutnya, aktiviti merentas negeri bagaimanapun masih tidak dibenarkan.
Terdahulu dalam satu lagi hantaran beliau memaklumkan Menyertai Sidang Khas MKN Pengurusan Covid-19 Bil 44 / 2021 (Siri Ke-106) menerusi sidang video di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Kangar pagi ini.
Menurutnya, mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri dan turut bersama Pengarah MKN Perlis.
Perlis mencatatkan sifar kes harian semalam dengan jumlah kes keseluruhan di negeri terbabit adalah 597 kes.
Perlis bersama empat negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perak telah beralih kepada Fasa Dua PPN berkuatkuasa hari ini. – Malaysiapost

