
NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau bakal menyertai parti Bersatu.
Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Politik kepada Ismail Sabri, Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, jam 2.14 petang tadi.
Mohd Fazmi yang ditemui media sebaik sahaja selesai membuat laporan berkata, laporan polis itu terpaksa dibuat berikutan kenyataan berbaur fitnah Datuk Lokman Adam di media sosial terhadap Ismail Sabri.

Katanya, Lokman Adam telah membuat tuduhan dan cacian yang tidak berasas terhadap Ismail Sabri ketika membuat ucapan video secara ‘live’ di Facebook pada jam 11 pagi, semalam.
“Pemilik akaun Facebook Lokman Adam ini membuat tuduhan bahawa Datuk Seri Ismail Yaakob cuba meyakinkan ahli-ahli Parlimen Umno untuk menjadi calon parti Bersatu jika tidak dipilih sebagai calon Umno pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15).
“Pelbagai tuduhan dan cacian yang dilemparkan oleh pemilik akaun Facebook Lokman Adam ini terhadap Datuk Seri Ismail Sabri,” katanya.

Menurut Mohd Fazmi tujuan laporan polis ini dibuat adalah untuk memohon siasatan dilakukan dan mendakwa Lokman Adam ke muka pengadilan kerana telah melakukan kesalahan yang melanggar Akta Hasutan, Akta Berita Tidak Benar dan Akta Suruhanjaya Komunikasi Multi Media. – Malaysiapost
