KETUA kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo, Datuk Lee Chong Wei tidak akan ke Jepun atas faktor kesihatan dan akur nasihat doktor yang tidak membenarkannya ke luar negara.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan perkara itu berkata, Chong Wei akan mengekalkan jawatan CDM berkenaan berdasarkan pendirian dibuat oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Katanya, Chong Wei akan memantau perjalanan atlet di Tokyo selain memberi nasihat serta membakar semangat para atlet secara maya dari tanah air sehingga temasya sukan terbesar dunia yang bermula 23 Julai ini berakhir pada 8 Ogos.
“Kami tetap pendirian dengan MOM untuk mengekalkannya sebagai CDM kerana Chong Wei adalah nama yang amat besar dan signifikan serta cukup kuat dalam hati, sanubari dan minda rakyat Malaysia.
“Aspek pengurusan atlet di Tokyo pula akan dikelolakan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan beliau juga akan tinggal bersama mereka di perkampungan sukan di sana nanti,” katanya dalam satu kenyataan audio, hari ini.
Menurut Reezal, ketiadaan Chong Wei di Tokyo bukan satu masalah kerana hakikatnya, edisi kali ini berlangsung dalam keadaan yang cukup berbeza ekoran pandemik Covid-19 dan memberi jaminan pemenang tiga pingat perak berturut-turut Olimpik itu akan sentiasa berhubung dengan kem Malaysia tanpa sebarang kekangan.
Pada masa sama, Reezal menghargai kegigihan dan kesungguhan Chong Wei untuk kekal bersama kontinjen Malaysia dan diharap semangatnya mampu menyemarakkan api perjuangan sekali gus mencipta kejayaan kepada atlet untuk membawa pulang pingat di Sukan Olimpik Tokyo.
Chong Wei sebelum ini terpaksa mengumumkan persaraan dari dunia badminton ketika berusia 37 tahun pada 2019 susulan penyakit barah hidung yang dialaminya.
Bagaimanapun, beliau telah disahkan sembuh sepenuhnya daripada penyakit itu selepas menjalani rawatan hampir empat bulan di Taiwan pada tahun 2018. – Malaysiapost

