POLIS telah mengenal pasti seorang anggotanya yang disyaki meminta wang sogokan daripada pemilik kereta dalam kejadian di sekitar Bandar Suleiman, Klang.
Kejadian itu tular selepas video berdurasi seminit dimuatnaik pemilik Twitter @fahmynazrul di laman sosial tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata polis semalam mendapati pemilik akaun Twitter tersebut telah memuatnaik video menunjukkan satu kejadian di mana anggota polis disyaki meminta wang sogokan daripada pemilik kereta kenderaan dengan nombor pendaftaran VCX 3510.
Katanya, satu kertas siasatan tatatertib telah dibuka ke atas anggota yang terlibat.
“Sehubungan itu, polis meminta pemilik akaun atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut supaya menghubungi pihaknya untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam hantaran sama, pemilik akaun terbabit turut mengakui dirinya diminta wang sogokan dari anggota berkenaan.
“Ni dekat Pelabuhan Klang, menghala ke Bandar Sultan Sulaiman. Aku syak ni polis yang sama buat kerja ni. Sebab ramai kawan dah kena termasuk aku,” katanya. – Malaysiapost

