PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin sekali lagi beraksi cemerlang membantu kelabnya, KV Kortrijk mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Club Brugee dalam aksi persahabatan, awal pagi semalam.
Pada aksi terbabit, Luqman dimasukkan pada minit ke-84 ketika kedua-dua pasukan masih terikat tanpa jaringan.
Sebaik dimasukkan, anak kelahiran Kota Bharu itu bijak mencari peluang dengan mengucar-kacirkan pertahanan juara Liga Belgium tersebut.
Kemasukan Luqman menyaksikan bahagian depan Kortrijk lebih berfungsi dan bertenaga.
Pemain berusia 19 tahun itu juga dilihat memainkan peranan penting dengan membuka ruang untuk gol kemenangan Kortrijk yang dijaringkan Nihad Mujakic pada minit ke-88.
Sebelum ini, Luqman turut beraksi cemerlang ketika Kortrijk menewaskan KRC Harelbeke 5-0 pada 23 Jun lalu.
Perlawanan persahabatan ini adalah kali kedua pengendali pasukan, Luka Elsner memberi kepercayaan kepada Luqman.
Kortrijk akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang SC Heerenveen sebelum memulakan kempen liga menentang RFC Seraing pada 25 Julai. – Malaysiapost

