Jangan ‘sceptical’ kepada ‘bendera putih’

0
2
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

SEMUA pihak diminta tidak bersikap ragu-ragu atau ‘sceptical’ terhadap ‘bendera putih’ kerana rakyat tidak pernah melihat ia sebagai suatu tindakan politik.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata apa yang rakyat tahu ada individu atau keluarga sedang dalam kesusahan perlukan pertolongan.

Malah katanya, jika pihak yang mempersoalkannya mahu kepastian lebih mendalam, boleh saja bertanya penghuni rumah yang menggantung ‘bendera putih’.

“Mereka gantung ‘bendera putih’ sebab politik atau terdesak perlu bantuan? Saya fikir tiada siapa dengan mudah sanggup kibar ‘bendera putih’ depan rumah.

“Mereka ini sanggup mengenepikan perasaan malu demi keperluan diri dan keluarga.

“Maka wajar semua pihak ‘husnuzon’ dengan ‘bendera putih’. Jangan “overthinking” yang bukan-bukan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata secara tersirat ia satu pendekatan psikologi mengenai kebertanggungjawaban.

“Lihat sahaja sejurus ‘bendera putih’ dikibar laju bantuan tiba tanpa perlu memohon ke sana ke sini,” katanya lagi.

Baru-baru ini kempen kibar bendera putih dilancarkan melalui media sosial yang meminta orang ramai dalam kesusahan seperti terputus bekalan makanan supaya mengibarkan bendera putih sebagai isyarat untuk dibantu.

Kempen tersebut mendapat sambutan dan dilihat berjaya apabila ramai keluarga dibantu serta-merta sejurus mengibarkan bendera berkenaan.

Bagaimanapun ada pihak meminta ia dihentikan kerana didakwa bermotifkan politik bagi menggambarkan seolah-olah wakil rakyat tidak mengambil tahu kesusahan rakyat.

Menurut golongan yang tidak bersetuju, mereka yang memerlukan bantuan sepatutnya menghubungi pihak yang berkenaan bagi melaporkan kesusahan mereka, bukannya mengibar bendera putih. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here