Zulkifli: Ada bendera atau tidak, orang susah kita bantu

0
2

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan semua individu susah wajar dibantu segera, tidak kira dia mengibarkan bendera putih atau tidak.

Zulkifli berkata walaupun pelbagai pandangan dikemukakan termasuk oleh mufti, namun kebanyakannya bermatlamat membantu golongan terkesan ekoran pendemik Covid-19.

“Yang penting kita turun, padang tak kisah ada bendera ke tak ada bendera, orang dalam susah kita bantu,” katanya menurut laporan MalaysiaKini yang memetik Bernama.

Beliau mengulas pelbagai pandangan disuarakan beberapa pihak berhubung tindakan mengibar bendera putih sebagai isyarat meminta pertolongan.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata orang ramai juga boleh meminta bantuan dengan menghubungi talian disediakan menerusi laman sesawang atau Facebook agensi di bawah seliaan beliau termasuk Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan YaPEIM.

Beliau berkata setakat ini bantuan bernilai lebih RM700 juta disalurkan kepada orang ramai di seluruh negara melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk Pusat Pungutan Zakat dan Jabatan Agama Islam Negeri serta Yadim.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Ahmad Fadhil Shaari berpendapat bendera putih adalah lambang isyarat kecemasan yang perlu diberikan perhatian termasuk pihak masjid, jiran tetangga, madrasah dan wakil rakyat kawasan.

“Dalam situasi sekarang mungkin ada orang yang perlukan lampin pakai buang untuk anak-anak dan ada yang perlukan beras, malah ada juga yang perlukan wang bagi membayar sewa rumah,” katanya sambil berharap isu itu tidak terus dipolitikkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here