KERAJAAN Perlis akan terus berusaha supaya kelonggaran diberikan sepenuhnya untuk pergerakan dalam negeri, tidak terhad 10 kilometer (km) sahaja.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata walaupun negeri itu akan beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin ini namun pergerakan merentas daerah tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran polis.
Beliau berkata, kebenaran pergerakan di seluruh negeri itu untuk membolehkan rakyat meneruskan kehidupan seperti biasa terutama yang bekerja sendiri dan pekerja harian.
“Usaha juga akan ditingkatkan untuk mendapatkan bekalan vaksin yang lebih tinggi supaya lebih ramai lagi rakyat yang telah berdaftar dapat menerima vaksinasi dengan cepat.
“Lebih tinggi kadar vaksinasi maka lebih cepat untuk Perlis bergerak ke Fasa berikutnya. Insya-Allah. Sama-samalah kita doakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana Perlis yang mencatatkan kes harian terendah dalam negara setiap hari akan beralih ke fasa kedua bersama empat lagi negeri iaitu Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu. – Malaysiapost

