Penjelasan HKL: Rawat pesakit di atas lantai kerana katil penuh

0
1

HOSPITAL Kuala Lumpur (HKL) menjelaskan katil yang tidak mencukupi di unit kecemasan hospital itu menyebabkan seorang pesakit perlu menerima rawatan di lantai baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Heric Corray berkata selain itu permukaan lantai yang rata juga adalah satu kaedah terbaik bagi melakukan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atas pesakit terlibat.

Beliau menjelaskan pesakit terbabit yang dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL secara tiba-tiba berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tiada denyutan nadi.

“Pada masa sama, semua katil telah digunakan dan permukaan lantai yang rata merupakan satu kaedah terbaik bagi melakukan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atas pesakit terlibat.

“Namun begitu, pesakit tidak dapat diselamatkan dan oleh kerana punca kematian tidak dapat dikenal pasti, jenazah telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HKL bagi menjalani bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, seorang individu dipercayai kakitangan HKL mendedahkan menerusi laman sosial mengenai situasi hospital itu yang dikatakan sudah tidak mampu untuk menampung pesakit baharu malah ada antaranya perlu menerima rawatan CPR di atas lantai.

Selain itu, individu berkenaan turut mendakwa pertambahan jumlah pesakit di hospital itu pada masa ini menyebabkan bilangan katil termasuk katil kanvas tidak mencukupi sehingga ada yang terpaksa menunggu di atas kerusi dan kerusi roda sahaja.

Dr Heric berkata gambar ditularkan itu merupakan kes kecemasan di mana pesakit pihak terlibat mengalami sawan dan mempunyai risiko jatuh daripada katil kanvas.

“Atas faktor keselamatan dan rawatan segera, pesakit telah dibaringkan secara mengiring ke kanan untuk menggelakkan air liurnya masuk ke dalam saluran paru-paru,” katanya.

Sementara itu, Dr Heric menjelaskan penggunaan katil di HKL pada masa kini meningkat berikutan terdapat pertambahan penerimaan kes Covid-19 yang kebanyakannya berada pada tahap empat.

Menurutnya, bekalan oksigen di wad hospital berkenaan sama ada jenis piping atau silinder buat masa ini juga adalah masih mencukupi.

“Sekiranya terdapat keperluan bekalan yang tinggi pada satu masa, ia akan diambil dari wad yang kurang penggunaannya dan dihantar ke wad yang lebih memerlukan.

“Pengunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada masa ini juga berada pada tahap tinggi dan tenaga kerja di sana dibantu oleh kakitangan yang bertugas di wad biasa serta klinik HKL,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here