Isu kawat duri di tangga: Pihak berkuasa sedia laluan lain sekiranya berlaku kecemasan

0
1

POLIS mengesahkan pemasangan kawat duri di laluan tangga Blok C Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, di Kuala Lumpur telah dipersetujui oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata terdapat laluan lain boleh digunakan penduduk sekiranya berlaku kecemasan.

“Kekeliruan timbul apabila gambar kawat duri di laluan tangga tersebut tular kerana penduduk merasa bimbang sekiranya berlaku kecemasan,” katanya memetik laporan Kosmo Online.

Jelas beliau, sekiranya berlaku kecemasan, pihak tentera berkemampuan membuka kawat duri tersebut dalam masa singkat danpolis juga sentiasa berada di laluan itu untuk memantau situasi semasa.

Terdahulu, beberapa keping gambar tular di laman media sosial memaparkan beberapa anggota tentera memasang kawat berduri di laluan tangga Blok C bangunan berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna sosial media.

Tinjauan di kawasan tersebut bagaimanapun mendapati kawat duri berkenaan telahpun dialihkan ke luar kawasan tangga bagi mengelakkan sebarang kekeliruan timbul.

Pemasangan kawat berduri berkenaan adalah bagi mengelakkan penduduk keluar atau masuk dari blok berkenaan yang kini berada di bawah PKPD sehingga 16 Julai depan. – Malaysiapost

Kredit : Foto Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here