Fasa 2 PPN: Pasangan jarak jauh boleh rentas negeri, daerah

0
1

KERAJAAN membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah bagi pasangan jarak jauh dalam Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ramai yang mahu mendengar mengenai pergerakan rentas negeri dan daerah oleh pasangan jarak jauh. Malah, saya sendiri ada menerima rayuan berhubung perkara ini.

“Jadi fasa dua ini, kita membenarkan rentas negeri dan daerah kepada pasangan jarak jauh tetapi hanya bagi kes kecemasan dan keperluan khas dengan kelulusan PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz secara maya hari ini.

Ismail Sabri berkata, kedai buku dan alat tulis serta premis menjual komputer dan telekomunikasi, barangan elektrik, kedai cuci kereta serta kedai gunting rambut juga akan dibenarkan.

Pergerakan rentas daerah dan negeri hanya dibenarkan bagi pergerakan guru sekolah dan pelajar kelas-kelas peperiksaan.

Perkara lain yang terkandung dalam kelonggaran SOP dalam fasa kedua ialah Pasar tani dan pasar pagi dibenarkan beroperasi dari 7 hingga 11 pagi dan terhad kepada enam komoditi iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging.

Manakala pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka, tetapi semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tidak bersentuhan fizikal dibenarkan.

Terdahulu Tengku Zafrul mengumumkan Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis setakat semalam memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa Isnin ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here