Boleh rentas negeri bawa ibu bapa ambil vaksin

0
1
Vaksin AstraZaneca di PWTC.

INDIVIDU membawa ibu bapa bagi mendapatkan suntikan vaksin dibenarkan merentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka perlu mengemukakan bukti kepada petugas sekatan jalan raya.

“Saya difahamkan setiap kawasan di luar bandar ada sukarelawan membawa warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) untuk mengambil vaksin.

“Mungkin mereka boleh berbincang (dengan sukarelawan) untuk membawa ibu bapa mereka. Tetapi kalau tiada, kita benarkan balik ke kampung jika ada buktinya” katanya pada sidang media bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz hari ini.

Ismail Sabri berkata, pergerakan untuk vaksinasi juga dibenarkan daripada kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan hanya perlu menunjukkan surat atau maklumat tertera dalam aplikasi MySejahtera.

PKPD berkuat kuasa hari ini di hampir keseluruhan mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari sehingga 16 Julai 2021.

Pelaksanaan PKPD tersebut selepas situasi Covid-19 kedua-dua negeri itu menunjukkan trend jangkitan yang tinggi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here