VAKSINASI perlu diberikan kepada semua yang tinggal di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tanpa mengira kewarganegaraan bagi mengelakkan wabak Covid-19 terus menular.
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, menggesa agar kerajaan tidak mengabaikan warga asing yang tinggal bersama dalam masyarakat.
Menurutnya, negara tidak lagi mampu bertahan jika sebahagian daripada segmen dalam masyarakat ini tidak menerima vaksin dan mungkin mengakibatkan gelombang jangkitan lain yang memberi kesan ke atas populasi yang lebih besar.
“Baru-baru ini kawasan perumahan yang mempunyai warga asing yang begitu ramai seperti di Kampung Sungai Penchala dan Kampung Segambut Dalam terpaksa diarahkan perlaksanaan PKPD disebabkan jumlah jangkitan yang tinggi di kawasan tersebut.
“Mereka yang tidak mempunyai MyKad atau pasport tidak boleh mendaftar program pendaftaran vaksinasi menggunakan aplikasi MySejahtera, manakala program trak vaksin bergerak pula hanya untuk warganegara Malaysia sahaja.
“Semua ini telah menunjukkan dengan jelas mengapa lebih banyak kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi di Kuala Lumpur terpaksa dilaksanakan PKPD,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, dalam keadaan penduduk yang telah disekat dengan pelaksanaan PKPD, vaksinasi perlu segera diberikan kepada semua tanpa mengira kewarganegaraan mereka setelah mereka diuji negatif Covid-19.
Katanya, dengan kaedah itu sumber yang ditempatkan di kawasan berkenaan dapat digunakan dengan berkesan dan akan mencegah PKPD dilaksanakan di kawasan yang sama berulang kali pada masa akan datang.
“Kita terpaksa membayar pada harga yang sangat tinggi apabila mengabaikan mereka yang bukan warga negara dalam program vaksinasi kita seperti mana terbukti apa yang berlaku di Kampung Sungai Penchala dan Kampung Segambut Dalam.
“Ini adalah kajian kes yang mesti diambil pengajaran oleh kerajaan untuk mencegah berlakunya PKPD di tempat lain di seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, keutamaan semasa tempoh pandemik ini adalah soal keselamatan dan kesihatan yang meliputi semua orang di dalam negara termasuklah warga asing yang tinggal di kalangan masyarakat negara ini.
“Virus ini tidak membezakan antara warga tempatan mahupun warga asing.
“Demi kesihatan dan pemulihan negara serta untuk mencapai imuniti kelompok, saya menggesa kerajaan segera menghantar trak vaksin bergerak ke kawasan PKPD hari ini juga bermula di Kampung Segambut Dalam,” katanya. – Malaysiapost

