Dasar 4IR dilancar untuk bersaing dalam dunia teknologi, digital

0
1
digital malaysia 4IR

DASAR Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara dilancarkan hari ini dalam usaha kerajaan mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi berasaskan teknologi.

Ia diperkenalkan dengan matlamat meningkatkan kesediaan negara dalam memanfaatkan potensi 4IR yang berpacukan teknologi dan pendigitalan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata dasar itu susulan pelancaran inisiatif MyDigital dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Februari lalu.

Menurutnya, peranan teknologi dalam meningkatkan kualiti hidup dan pertumbuhan ekonomi negara sememangnya tidak dapat dinafikan.

“Pandemik Covid-19 telah mengubah cara hidup kita, seterusnya memerlukan kerajaan, perniagaan dan rakyat untuk mengadaptasi teknologi dan pendigitalan dalam mempermudah urusan dalam norma baharu.

“Keperluan menjadi negara berteknologi ini telah mendorong Kerajaan menggubal Dasar 4IR Negara bagi meningkatkan lagi keupayaan dan kemampuan negara bagi menguasai 4IR, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Dasar 4IR Negara yang disempurnakannya bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, hari ini.

Menurutnya, dasar 4IR Negara telah digubal menggunakan pendekatan berpaksikan kemanusiaan supaya rakyat memanfaatkan teknologi di samping mengekalkan nilai kemanusiaan, sosial dan warisan budaya.

“Dasar 4IR Negara mengandungi empat teras utama iaitu melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR; membentuk negara mempunyai kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital; menyediakan peraturan yang sesuai dengan keperluan masa hadapan selari dengan perubahan teknologi; dan mempercepat inovasi serta penerimagunaan teknologi 4IR.

“Keempat-empat teras dasar ini akan menjadi panduan kepada kementerian dan agensi dalam merangka program berkaitan 4IR,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, kerajaan telah mengenalpasti lima teknologi teras untuk membina keupayaan tempatan iaitu kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), blockchain dan teknologi lejar teragih (DLT), bahan termaju dan disokong oleh pengkomputeran awan (cloud computing) dan analisis data raya (Big Data Analytics, BDA).

Menurutnya, kesemua lima teknologi teras itu sememangnya telah memberi kesan kepada kehidupan seharian dan cara kita melakukan sesuatu perkara, baik melalui big data analytics, AI, cloud computing, blockchain mahupun IoT, kesemuanya telah membantu manusia daripada segi perancangan, pelaksanaan mahupun keputusan.

“Inisiatif membangunkan dasar 4IR Negara ini dilihat sebagai komitmen Kerajaan untuk mempersiapkan masyarakat dan perniagaan menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang yang terbit daripada revolusi perindustrian ini.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sentiasa menyokong usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi melalui pembangunan teknologi,” katanya.

Beliau berkata, kesan daripada 4IR telah mula dirasai dan tidak dapat dielak, maka bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan dapat memanfaatkan perkembangan teknologi 4IR semua pihak baik komuniti perniagaan, sektor kerajaan dan rakyat perlu memainkan peranan.

Katanya, semua pihak perlu sentiasa peka dan bersedia untuk berubah ke arah yang lebih sistematik dan berkualiti dengan terancang. – Malaysiapost

Foto Kredit: My Digital/iStock

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here