Timbalan Speaker mohon maaf, akui tak teliti ulas video ‘kenduri’ durian

0
2

TIMBALAN Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon hari ini mengaku memberi ulasan kepada media tanpa meneliti video yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, beliau memohon maaf atas kekhilafan berkenaan penjelasan video yang memaparkan menjamu durian beramai-ramai yang tular di media sosial.

“Saya mohon maaf di atas kekeliruan yang timbul apabila terdapat media yang menghubungi saya bagi bertanyakan mengenai video saya di kebun dan saya menjawab soalan tersebut tanpa menonton sendiri video pada awalnya.

“Setelah selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam, barulah saya ada kesempatan untuk analisa video yang terkait pada saya,” katanya.

Mengulas mengenainya, Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama sehingga kini, beliau sering menerima aduan daripada pekebun kecil termasuk pengusaha sayur dan buah-buahan yang mengalami kesukaran menjual hasil tanaman berikutan jualan merosot.

“Setelah meneliti, salah satu video yang tular semalam merupakan lawatan saya ke kebun durian kampung yang diusahakan masyarakat setempat yang mana turut terkesan berikutan PKP ini.

“Kebetulan ketika itu terdapat lawatan kerja Datuk Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) ke Batu Pahat. Oleh itu, kami menghadiahkan durian kepada rombongan menteri untuk dibawa pulang,” ujarnya.

Beliau berkata, sejurus tiba di kebun berkenaan, pengusaha kebun durian tersebut menghidangkan durian kepada mereka.

“Saya menjamah sedikit durian sambil berbincang dengan pengusaha kebun mengenai langkah-langkah bantuan yang boleh dihulurkan,” jelasnya.

Mohd Rashid menjelaskan beliau memberi kerjasama kepada polis susulan kejadian itu.

Semalam, media melaporkan, polis akan menyiasat dakwaan bahawa Rashid dan beberapa individi lain menikmati durian di sebuah kebun dipercayai dalam daerah itu, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata satu laporan polis sudah dibuat berkenaan video yang tular di media sosial itu dan kertas siasatan sudah dibuka.

“Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here