MASYARAKAT perlu sedar tentang kepentingan data asid deoksiribonukleik (DNA) yang boleh membantu dalam siasatan kes jenayah sekali gus membela hak mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata walaupun siasatan menggunakan DNA adalah perkara baharu dan jarang diperkatakan, ia penting untuk penyiasatan kes jenayah di lapangan.
Menurutnya, ketika ini Sistem Forensik DNA Data Bank Malaysia mengandungi sebanyak 160,000 DNA setakat 25 Jun lalu.
“Melalui sistem ini sebanyak 131 padanan DNA berjaya dibuat dan membantu siasatan polis. Ia amat membanggakan walaupun baharu.
“Ada cadangan sebelum ini untuk kumpul DNA daripada bayi baru lahir namun belum dapat dilaksanakan lagi dan ketika ini ia ditumpukan kepada penjenayah yang ditahan.
“Kalau DNA setiap bayi yang dilahirkan dapat disimpan ia lebih baik. Bukan untuk disalah guna tetapi tujuannya untuk menjaga kepentingan masyarakat keseluruhan,” katanya dalam sidang media selepas melawat Makmal Forensik (D10) dan D13 Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras hari ini.
Beliau berkata, perkara itu yang dicadangkan kepada kerajaan kerana ia adalah perkara yang baik bagi menentukan hak masyarakat jika disalahgunakan atau dianiaya dalam sesuatu kes kelak.
“Dengan DNA ini kita yakin hak masyarakat akan terpelihara dari sudut undang-undang.
“Contoh kes yang berjaya diselesaikan Bahagian Databank DNA (D13) dengan padanan yang dibuat adalah kes lama berusia 20 tahun iaitu kes di Cheras pada 1999, dengan suspek samun dan rogol berjaya dikenalpasti pada 2019.
“Suspek berjaya ditahan dan kemudian dibawa ke muka pengadilan serta disabitkan kesalahan dengan bukti DNA yang tidak boleh dipertikaikan,” katanya.
Beliau berkata, atas dasar kejayaan yang diperoleh itulah PDRM mencadangkan pengambilan dan penyimpanan DNA bayi baru lahir dibuat, namun ada pihak menyangkalnya atas alasan takut disalah guna.
“Kita mahu angkat semula cadangan ini dan saya harap pihak yang menyangkal memikirkan semula tindakan mereka,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Duit Kertas & Markijar

