SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bersidang pada 25 Ogos ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mengesahkan perkara itu berkata, perkenan itu diterima selepas beliau bersama Setiausaha Kerajaan negeri dan Penasihat Undang-undang negeri mengadap Sultan Nazrin, semalam.
Katanya, Sultan Perak berkenan berangkat merasmikan istiadat pembukaan sidang DUN pada hari pertama persidangan.
“Mesyuarat pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-14 Perak Darul Ridzuan akan bersidang selama empat hari.
“Berdasarkan perancangan awal, persidangan berkenaan diadakan secara fizikal dan semua wakil rakyat terbabit manakala ketua jabatan serta pemerhati mengikutinya secara maya.
“Perjalanan persidangan juga boleh diikuti secara langsung di media sosial termasuk Facebook dan YouTube,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, memandangkan persidangan dijadual berlangsung dalam fasa Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara, satu mesyuarat akan dijalankan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapat nasihat dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Ia termasuk membincangkan ketetapan mengenai jumlah kehadiran dalam dewan, aspek penjarakan fizikal dan juga kedudukan tempat ahli dewan serta termasuk SOP lain yang berkaitan.
“Saya berharap, sidang DUN kali ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk wakil rakyat berkongsi pandangan dan buah fikiran terutama berkaitan usaha kolektif untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

