POLIS Diraja Malaysia (PDRM) kini memberi tumpuan dalam bidang siasatan forensik bagi menyelesaikan kes serta membawa penjenayah ke muka pengadilan dan memberi keadilan kepada mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata siasatan forensik penting dan banyak membantu dalam pendakwaan di mahkamah.
“Siasatan forensik membuahkan kejayaan sehingga penjenayah dapat dikesan, disiasat dan dibawa ke muka pengadilan sehingga dijatuhkan hukuman setimpal mengikut kesalahan yang dilakukan.
“Ini dengan bukti-bukti yang dikumpulkan melalui siasatan forensik di Bahagian Makmal Forensik (D10) dan Bahagian Databank DNA (D13) PDRM.
“Bahagian ini amat penting dalam menjadi tunjang di JSJ,” katanya dalam sidang media selepas melawat bahagian D10 dan D13 di Maktab PDRM, di Cheras hari ini.
Menurutnya, siasatan forensik memberi bantuan dari segi saintifik dalam siasatan kes jenayah bermula di tempat kejadian dan menjalankan analisa makmal terhadap bahan bukti yang ditemui.
“Kalau kita lihat 20 tahun lalu, pegawai penyiasat menjalankan siasatan secara tradisional tanpa kaedah forensik, amat sukar membuktikan penjenayah untuk disabitkan di mahkamah.
“Tetapi dengan bantuan kaedah siasatan forensik, keadaan sudah berubah dan banyak kejayaan dicapai,” katanya.
Beliau berkata, contoh kejayaan adalah dalam beberapa kes berprofil tinggi seperti pembunuhan penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong; Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais yang berjaya diselesaikan sebelum ini.
“Ini semua dibantu melalui siasatan forensik yang mana tanpa bantuan bukti daripada forensik ini amat sukar untuk menahan penjenayah terbabit,” katanya.
Menurutnya, penyiasatan secara forensik turut diperluas dengan memberi bantuan kepada pihak lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Agama Islam dalam siasatan di lapangan.
Katanya, data forensik juga akan dikongsikan dengan pihak luar negara seperti Interpol, polis Australia dan negara Asean lain,” katanya. – Malaysiapost

