PENDUDUK di sekitar Meranto, Gua Musang, Kelantan menarik nafas lega selepas Jabatan Perhilitan (Perhilitan) Semenanjung Malaysia menangkap gajah jantan yang mengganggu kawasan terbabit.
Perhilitan memaklumkan operasi tangkapan gajah tersebut telah dijalankan pada 23 Jun di lokasi terbabit, melibatkan seramai lapan kakitangan daripada Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan.
“Tangkapan itu dilakukan selepas menerima aduan berhubung gangguan seekor gajah jantan berhampiran klinik kesihatan di kawasan tersebut pada 19 Jun lalu,” katanya di Facebook hari ini.
Menurut kenyataan itu, tangkapan gajah tersebut telah melegakan kebimbangan penduduk kampung di sekitar lokasi berkenaan.
Perhilitan turut memaklumkan gajah itu dalam keadaan sihat dan aktif.
“Pemantauan di lokasi tangkapan akan diteruskan sehingga operasi pemindahan gajah tersebut ke habitat yang sesuai dilakukan,” katanya. – Malaysiapost

