Pemilik syarikat minyak masak, adik didakwa ubah wang haram

0
1

SEORANG pemilik syarikat pembungkusan minyak masak subsidi bergelar Datuk dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM218,524.80 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh, Datuk Mohd Farid Mohamad Ali, 42, didakwa mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 dan dibaca bersama dengan subseksyen 87(1)(a) akta sama dan seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara adiknya, Mohd Fadhil Mohamad Ali, 38, turut didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Mohd Farid untuk melakukan kesalahan sama, di lokasi dan tarikh sama.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Siew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin dan Keshwinder Singh.

Hakim menetapkan 1 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, pada 25 Jun lalu, kedua-dua tertuduh didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 52 pertuduhan berhubung tuntutan palsu pembekalan minyak masak dua tahun lalu.

Mohd Farid dan Mohd Fadhil didakwa memberikan dokumen palsu iaitu Penyata Tuntutan Bayaran Bantuan Kewangan Kepada Kilang Penapis/Pembungkus Minyak Masak Sawit Tulen yang mengandungi butiran matan palsu kepada tiga kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) iaitu maklumat penjualan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit yang mana tertuduh tahu bahawa penjualan minyak masak itu sebenarnya mengandungi matan palsu, yang kesemuanya bernilai RM1.57 juta. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here