Moratorium: ‘Ada bank ambil kesempatan kaut keuntungan berganda’

0
1

PEMUDA Umno kesal dengan tindakan institusi perbankan yang disifatkan mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan berganda menerusi tawaran moratorium kepada rakyat terkesan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ada bank yang menawarkan moratorium namun hakikatnya menekan rakyat dengan memanjangkan tempoh bayaran balik beserta faedah terakru.

“Malangnya ada bank-bank yang semacam mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat dengan cuba mengaut keuntungan berganda menawarkan kaedah moratorium yang hakikatnya menekan rakyat.

“Contohnya, moratarium 3 bulan tetapi kena perpanjangkan tempoh bayaran balik (principal campur faedah) selama 12 bulan tambahan.

“Ini bermakna rakyat yang sudahpun terbeban terpaksa membayar balik jumlah pinjaman beserta faedah terakru bukannya penangguhan bayaran ansuran yang bersifat ihsan,” katanya dalam hantaran Facebook.

Justeru, beliau berkata, kerajaan tidak boleh hanya mengisytiharkan moratorium untuk menyedapkan hati rakyat tetapi harus memperhalusi setiap amalan dan perlaksanaan yang pelbagai di peringkat bank dan ada menekan rakyat.

Asyraf Wajdi berkata, beliau berkesempatan berdiskusi secara atas talian dengan beberapa pegawai tinggi institusi perbankan terkemuka tempatan berpangkat Naib Presiden Kanan untuk membincangkan isu moratorium yang diamalkan pihak bank.

“Sejujurnya mereka juga akui bank-bank hakikatnya tidak sangat terkesan dengan penawaran moratorium kepada rakyat sepanjang enam bulan tahun lepas.

“Bahkan bank-bank utama mencatatkan keuntungan besar pada tahun berakhir 2020 (Maybank RM6.48 bilion; Public Bank RM4.87 bilion; CIMB RM1.19 bilion; Hong Leong RM1.4 bilion; RHB RM1.8 bilion; Ambank RM0.87 bilion),” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, kerana itulah pihaknya medesak supaya Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB memastikan bank berkorban di saat krisis.

“Kerajaan perlu memastikan bank-bank juga berkorban di saat krisis dengan menawarkan moratorium secara automatik dan menyeluruh tanpa caj mahupun faedah tambahan (dan ia) bukanlah suatu yang tidak praktikal,” katanya.

Semalam, Tengku Zafrul menegaskan bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau penalti lewat bayar kepada peminjam yang memohon moratorium.

Menurutnya, dalam perjumpaan bersama bank baru-baru ini, kerajaan membangkitkan perkara tersebut dan bank bersetuju untuk melaksanakannya.

Katanya, pelaksanaan moratorium yang diumumkan semalam sama sahaja konsepnya seperti diumumkan tahun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here