Mereka yang angkat bendera putih mesti segera dibantu – Nik Omar

0
2
Nik Omar Nik Aziz

KETIKA Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz tidak bersetuju dengan kempen kibar bendera putih, abangnya, Nik Omar pula meminta agar orang ramai menyantuni golongan terbabit.

Nik Omar, bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menerusi hantaran di Facebooknya berkata mereka yang mengangkat bendera putih adalah golongan susah yang perlu segera dibantu.

“Yang angkat bendera putih itu, adalah termasuk dalam kategori orang miskin yang meminta secara jelas. Bersegeralah menyantuni mereka,” katanya.

Dalam hantaran itu, Nik Omar turut memuatnaik poster memaparkan ayat 19 Surah adz-Dzaariyaat yang bermaksud:

“Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.”

Semalam adiknya Nik Abduh berkata rakyat tidak sepatutnya diajar mengalah dengan mengangkat bendera putih apabila berdepan ujian Allah SWT.

Menerusi hantaran di Facebooknya, pemimpin PAS itu berkata, mereka yang diuji sebaliknya perlu menadah tangan memohon doa kepada Allah SWT.

“Angkat tangan berdoa kepada-Nya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan.

“Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih,” katanya.

Terdahulu kempen mengibar bendera putih mula dilancarkan di media sosial semalam yang mendapat reaksi positif daripada rata-rata netizen.

Kempen itu meminta orang ramai menghantar isyarat dengan mengibarkan bendera putih jika memerlukan sebarang bantuan akibat terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here