KWP tangani isu kesihatan mental

0
2
kesihatan mental. Kred: Amal Malaysia

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan memulakan langkah untuk turut memastikan mereka yang sedang mengalami isu kesihatan mental, dalam apa jua bentuk, diberi akses untuk mendapatkan sokongan yang diperlukan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya akan bersama-sama meningkat kesedaran warga Wilayah akan isu kesihatan mental, termasuk betapa pentingnya untuk membantu mereka yang sedang berhadapan dengan situasi tersebut.

“Mendapatkan sokongan dan meminta bantuan bukanlah satu kelemahan malah ia merupakan satu langkah berani yang perlu dikagumi.

“Ini komitmen kita di KWP selari dengan konsep #WilayahPrihatin. Kita semua bersama dalam perjuangan ini dan anda tidak keseorangan,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya.

Annuar berkata kali pertama beliau benar-benar didedahkan kepada isu ini, termasuk impak perit kepada seseorang, adalah semasa KWP memulakan program Hijrah Warrior ketika membantu golongan gelandangan di Kuala Lumpur.

Katanya, melalui kerjasama dengan pelbagai NGO serta diskusi dengan pakar, beliau mula menyedari betapa besar impak negatif isu kesihatan mental bukan sahaja kepada seseorang individu malah keluarga mereka.

“Hati saya luluh bila mengetahui walaupun isu kesihatan mental boleh berlaku kepada sesiapa tanpa mengira umur, jantina, latar belakang atau bangsa, yang paling berisiko adalah golongan muda yang merupakan masa depan tanah air kita.

“Depresi dan masalah yang disebabkannya perlu dikenalpasti kerana ia sama seperti penyakit-penyakit lain dan musuh yang perlu kita lawan bersama sebelum ia mengancam negara kita yang tercinta.

“Selangkah ke hadapan lebih baik daripada berdiri tegak. KWP merangkumi pelbagai bidang dan sektor. Sudah tiba masanya kita letakkan isu kesihatan mental sebagai satu aspek yang utama untuk kita perjuangkan bersama,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Amal Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here