Azmin gagal batal saman 10 pengundi Gombak

0
2

MENTERI Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali gagal membatalkan saman difailkan 10 pengundi di kawasan Parlimennya.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu menerusi prosiding secara dalam talian hari ini.

Akhtar juga tidak membenarkan permohonan 10 pengundi tersebut untuk menyingkirkan sebahagian daripada Pernyataan Pembelaan Azmin terhadap saman mereka.

Peguam yang mewakili 10 pengundi Gombak berkenaan, N Yohendra berkata, hakim juga menolak permohonan pembatalan oleh MOhamed Azmin dan permohonan mereka dengan kos dalam kausa.

“Ini bermaksud kita harus menjalani perbicaraan. Tarikh perbicaraan adalah 7 hingga 10 Jun 2022 manakala pengurusan kes untuk mematuhi perintah itu adalah pada 7 April 2022,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Yohendra menambah Akhtar turut memutuskan bahawa saman itu melibatkan isu yang tidak boleh diselesaikan dengan permohonan pembatalan, oleh itu perkara tersebut harus melalui perbicaraan penuh.

Pada 27 November tahun lalu, 10 pengundi di Gombak memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari melalui ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, Februari tahun lalu.

Kewajipan fidusiari merujuk kepada hubungan antara pemegang amanah dan penerima manfaat (benefisiari).

Plaintif mendakwa Mohamed Azmin telah melanggar kepercayaan mereka dengan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam ‘Langkah Sheraton’ sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan PH, walaupun bekas Menteri Besar Selangor itu berkempen dan memenangi kerusi Parlimen Gombak atas tiket PKR/ PH.

Mohamed Azmin berusaha membatalkan saman berkenaan kerana mendakwa tindakan itu melanggar hak asasinya untuk berpersatuan di bawah Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here