Suntikan besar Pakej Pemulih ‘pelampung sementara’ buat rakyat

0
2

Meja Pengarang

SURVIVAL rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup ketika ini bukan lagi cerita dogeng. Sungguh ia benar- benar terjadi.

Hampir dua tahun rakyat terpaksa berdepan peperangan menentang Covid-19. Malah, dalam medan perang ini juga menyaksikan ada yang ‘gugur’.

Bukan kerana rakyat Malaysia tidak kuat, bukan sama sekali. Tetapi tempoh ujian yang panjang membuatkan mereka lelah. Asalnya mereka positif, jatuh dan bangkit kembali.

Namun apabila berulang kali terpaksa melalui episod sama, mental yang kuat juga boleh koyak kerana kita ini hanya manusia biasa.

Justeru, semalam apabila Perdana Menteri , Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dengan suntikan RM150 bilion, ia umpama ‘talian hayat’ buat rakyat.

Ia pakej terbesar jika dibandingkan tujuh siri program bantuan dan pakej rangsangan yang diumumkan terdahulu oleh kerajaan, dengan nilai suntikan keseluruhan RM380 bilion.

Tidak dinafikan pakej merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion ini sedikit sebanyak menghilangkan resah rakyat dan tekanan kepada golongan terkesan.

Pakej terbaharu yang diumumkan semalam susulan Sekatan Pergerakan Penuh (SKP) yang dijangka berlanjutan kerana kes harian Covid-19 masih tinggi.

Perdana Menteri dalam peruntusan khas itu menyebut Pakej Pemulih ini adalah tanda komitmen kerajaan untuk meneruskan agenda prihatin rakyat.

Rumusannya, Pakej Pemulih ini merangkumi 12 saluran bantuan iaitu Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0, Program Subsidi Upah (PSU) 4.0, rebat elektrik dan diskaun 30 peratus sewaan perniagaan Mara.

Selain itu, bantuan RM300 pemilik taska, Program bakul makanan i-Citra pengeluaran KWSP, moratorium bersasar tiga bulan peminjam PTPTN, tangguh pinjaman pelajaran Mara dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Tidak dilupakan, bantuan yang paling diperlukan rakyat saat sukar ini iaitu moratorium kepada semua individu tanpa mengira golongan B40, M40 atau T20.

Walapun ia bukan jaminan untuk terus selesa, sekurang-kurang ia umpama ‘pelampung’ yang dapat menyelamatkan rakyat daripada terus tenggelam.

Justeru, dengan ‘pelaburan’ besar kerajaan itu pastinya tinggi harapan untuk melihat negara menang dalam perang berhadapan pandemik ini.

Disebabkan itu, kerajaan mengumumkan Pelan Pemulihan Negara bagi menggariskan jalan keluar negara daripada pandemik Covid-19 yang turut memberi kesan terhadap kehidupan rakyat.

Perdana Menteri memberi jaminan pelan itu sudah disusun sehingga ke peringkat negara mencapai imuniti kelompok. Ini tanda komitmen kerajaan.

Dalam situasi ini, suka atau tidak, bersolidaritilah semua pihak demi negara. Berhentilah untuk menunding jari kerana berterusan ‘menyerang’ kerajaan juga bukan penyelesaian.

Sebaliknya, gunakan tempoh sementara menunggu negara mencapai imuniti kelompok ini dengan ‘pelan damai’ dalam setiap aspek termasuk politik. Letaklah tempat kita di kasut rakyat.

Buat kerajaan pula, jangan diulang-ulang lagi kesilapan sama. Segera gariskanlah satu jalan yang dapat membawa negara kembali kepada episod kejayaan dulu.

Untuk rakyat pula, dalam situasi ini, sistem sokongan sosial amat penting. Tanyalah khabar keluarga, jiran, kenalan, saudara mara dan orang di sekeliling.

Yang ada bantulah yang kurang. Dalam tempoh ujian ini marilah kita saling melengkapi umpama satu keluarga besar.

Bagi yang beragama Islam, belajarlah reda sifat lapang hati ketika menerima ketentuan Allah dengan bersangka baik terhadap segala aturan-Nya sekalipun bertentangan dengan kehendak dan keinginan.

Ingat kita pernah menang dan pastinya kita pasti menang. Terus kuat semuanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here