PESURUHJAYA PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar memberikan tiga sebab mengapa beliau tidak bersetuju dengan cadangan rakyat mengibarkan bendera putih untuk memaklumkan kehabisan makanan kerana.
Ini kerana katanya, pertama, ada yang akan ambil kesempatan; kedua, memelihara maruah diri dan ummah serta yang ketiga, masih ada cara yang lebih baik dan dapat menutup keaiban orang.
Beliau seterusnya mengemukakan cara yang lebih baik menurut pandangannya, antara lain Ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mesti membuka bilik operasi bantuan dan talian operasi sepanjang tempoh pandemik sekali gus menjadi penyelaras kepada organisasi yang diamanahkan untuk menyalur bantuan.
Katanya, organisasi komuniti masyarakat seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan kejiranan juga mesti membuka bilik operasi bantuan untuk orang yang terputus bekalan makanan, selain menyediakan khidmat penghantaran bagi yang tiada kenderaan.
“Masjid/Surau mesti berperanan sebagai pusat bantuan rakyat sama ada dengan dana bantuan kerajaan, masjid, surau, Majlis Agama, Pusat Zakat dan bantuan orang ramai.
“Bagi yang bukan Islam juga boleh dilaksanakan di kuil, tokong, gereja dan mana-mana pusat komuniti mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, kempen mengajak orang ramai mengibar bendera putih tular di laman sosial sejak semalam dan mendapat respon positif daripada ramai pihak.
Semakan di laman sosial mendapati carian tanda pagar ‘bendera putih’ adalah saranan kepada mereka yang memerlukan bantuan agar berbuat demikian supaya jiran sekeliling dapat mengetahui dan berbuat sesuatu.
Insiatif bendera putih itu adalah sebagai antara usaha mengelak mereka yang terkesan akibat pandemik agar tidak mengambil tindakan yang merugikan diri sendiri dan insan tersayang.
Mengulas lanjut, Rosli berkata dalam usaha membantu mereka yang terkesan, pihak yang berkenaan perlu memastikan talian operasi diketahui oleh komuniti dengan apa jua cara sebaran.
Katanya, mereka yang memerlukan bantuan boleh datang atau menghubungi talian operasi, data maklumat akan dapat mengelak orang mengambil kesempatan, datang berulang kali sehingga rumah mereka jadi stor menyimpan barang sumbangan, sekali gus dapat memelihara maruah.
“Jangan angkat bendera putih, macam orang kalah perang, kita masih ada kekuatan, kibarkan panji Islam dengan kibaran Syiarnya Islam sebagai agama yang saling membantu,” katanya.
Untuk DUN Tanjung Lumpur, katanya, talian operasi untuk rakyat yang terputus bekalan makanan boleh hubungi talian 011-59897556. – Malaysiapost
Foto Kredit: Harakah Daily

