POLIS Perak merampas 448 kilogram (kg) dadah jenis ketamin dan methamphetamine hasil pemeriksaan terhadap kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dibawa sebuah trak penunda di Kilometer 7, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik pada 26 Jun lalu.
Rampasan dadah terbesar di Perak bagi tahun ini itu dianggarkan bernilai RM23.75 juta dan dua beranak yang menaiki trak penunda terbabit turut ditahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Razarudin Husain, berkata kejayaan itu hasil pemeriksaan oleh JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di lokasi berkenaan kira-kira jam 6 petang, Sabtu lalu.

Menurutnya, polis menahan sebuah trak penunda di mana di atasnya ada kenderaan jenis Toyota Alphard yang hasil pemeriksaan kemudian menemui 447 bungkusan teh Cina mengandungi dadah jenis ketamin dan methamphetamine atau syabu.
“Susulan itu dua lelaki yang juga anak beranak yang bekerja sebagai penarik kenderaan berusia 27 dan 58 tahun ditahan.
“Semakan lanjut mendapati kedua-duanya berasal dari Kelantan dan tiada rekod lampau sama ada jenayah atau dadah,” katanya dalam sidang media di IPK Perak hari ini.
Beliau berkata, turut dirampas adalah trak penunda dan MPV berkenaan serta anggaran berat keseluruhan dadah dirampas adalah 448kg yang boleh dibekalkan kepada 2.16 juta penagih.
“Polis percaya dadah yang di seludup dari kawasan segi tiga emas di Thailand ini, bukan sahaja untuk pasaran tempatan, daripada risikan yang dijalankan mendapati dadah ini ada yang dihantar ke negara ketiga membabitkan negara seperti Filipina, Indonesia, Korea Selatan dan Australia
“Siasatan masih dijalankan dan polis sudah kenal pasti dalang utama sindiket penyeludupan dadah ini yang membabitkan warga tempatan dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya
Razarudin berkata, kedua-dua suspek yang ditahan kini direman hingga 3 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, JSJN kini mengesan modus operandi sindiket penyeludupan dadah yang menggunakan trak penunda untuk menyeludup dadah di beberapa kawasan dalam negara.
“Sebab itu arahan dikeluarkan bagi membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap mana-mana trak penunda yang membawa kenderaan.
“Taktik ini dikesan sudah digunakan di beberapa tempat oleh sindiket yang mungkin berbeza,” katanya. – Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan.

