2 lelaki didakwa palsukan dokumen darjah kebesaran

0
1
grafik

DUA lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, atas pertuduhan memalsukan surat penerimaan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka, Mac lalu.

Kedua-kedua tertuduh, Mohamed Fariq Abdul Rahman, 46 dan Abdullah Samsu@Hanafi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara bersama-sama telah memalsukan dokumen iaitu satu surat bertajuk pengesahan mengenai status penerimaan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka, lapor Kosmo.

Tindakan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka jam 12 tengah hari, 31 Mac lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap tertuduh.

Tertuduh yang masing-masing diwakili peguam Muhammad Syazwan Mohd Salleh dan Mohd Norazihan Adnan merayu agar jumlah jaminan tersebut dikurangkan dengan alasan anak guam mereka hilang punca pendapatan akibat Covid-19 selain mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkmah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3, 000 setiap seorang selain menetapkan tarikh 25 Ogos depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here