YANG Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Kedua-dua dilaporkan memasuki Istana Negara melalui Pintu 1, manakala kenderaan dipercayai membawa Timbalan Speaker Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad tiba pada jam 10.37 pagi.
Beberapa media melaporkan kenderaan membawa Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon juga telah tiba di Istana Negara.
Bagaimanapun kehadiran Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said belum dapat disahkan.
Minggu lalu, media melaporkan Rais dan Azhar mendapat jemputan dari Istana Negara hari ini dipercayai berkaitan persidangan Parlimen.
Pada 25 Jun lalu, Rais dan Azhar yang mencadangkan persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau minggu pertama September tahun ini. – Malaysiapost

