PAKEJ Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah satu manifestasi keprihatinan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada rakyat.
Naib Presiden Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen berkata PEMULIH yang melibatkan pakej keseluruhan RM150 billion adalah pelengkap kepada usaha kerajaan yang memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Jun lalu, sebagai panduan peralihan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berfasa.
“PEMULIH yang menggariskan tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan kadar vaksinasi negara jelas strategi terbaik bagi membawa Malaysia keluar daripada belenggu Covid-19.
“PEMULIH merupakan kesinambungan kepada pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi diumumkan kerajaan sejak 28 Mac 2020 bermula dengan pakej PRIHATIN, PRIHATIN SME+, PENJANA, KITA PRIHATIN, PERMAI, PEMERKASA dan PEMERKASA PLUS.
“Jumlah keseluruhan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sehingga ke hari ini bernilai RM530 billion,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Rafiq berkata PEMULIH yang memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menambah tunai di tangan rakyat seperti i-Citra, BKC, GKP 4.0, Subsidi Upah 4.0 dan moratorium mampu meningkatkan kuasa beli pengguna agar permintaan barangan dan perkhidmatan meningkat secara berterusan bagi merangsang ekonomi tempatan.
Katanya, PEMULIH juga mampu menyokong usaha rakyat mencari peluang pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran negara sepertimana yang dihasratkan kerajaan.
“Bagi menyokong usaha kerajaan menggalakkan rakyat berbelanja, seharusnya industri seperti perniagaan atas talian perlu lebih kreatif bagi menyokong inisiatif tersebut.
“Semua pihak harus berganding bahu bersama kerajaan dalam mendepani Covid-19 bagi memastikan segala pakej bantuan dan ekonomi yang diumumkan benar-benar dinikmati dan dirasai seluruh lapisan masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

