KEMPEN mengajak orang ramai mengibar bendera berwarna putih menjadi tular di laman sosial sejak semalam dan mendapat respon positif daripada ramai pihak.
Semakan di laman sosial mendapati carian tanda pagar ‘bendera putih’ adalah saranan kepada mereka yang memerlukan bantuan agar berbuat demikian supaya jiran sekeliling dapat mengetahui dan berbuat sesuatu.

Insiatif bendera putih itu adalah sebagai antara usaha mengelak mereka yang terkesan akibat pandemik agar tidak mengambil tindakan yang merugikan diri sendiri dan insan tersayang.
“Saya nasihatkan kepada semua yang susah, tiada makanan, naikkan bendera putih di rumah anda. Biar orang di sekeliling memberi sedikit sebanyak yang termampu.
“Jangan ambil tindakan merugikan diri-sendiri dan keluarga. Elakkan stres, berkongsilah masalah dengan orang ramai. Tidak perlu merayu.
“Tidak perlu rasa malu. Hanya kibarkan kain putih. Semoga ada yg datang membantu,” tulis di sebaran infografik tersebut.
Seorang pemilik akaun Facebook Dzulkelfly Ahmad berkongsi kisah mendapat tahu bahawa ada penduduk di Kota Iskandar, Johor mengibarkan bendera putih di di depan rumahnya.
“Sebaik dapat berita ada penduduk Kota Iskandar yang mengibarkan bendera putih, Ketua Cawangan Amanah Taman Pulai Indah, saudara Azam Mekhtar segera ke rumah Encik Zul menghulurkan bantuan kewangan.
“Mudah-mudahan keluarga Encik Zul dapat mengharungi masa yang getir ini dengan kesabaran,” tulisnya di ruangan itu.
Semakan carian di #bendera putih rata-rata pengguna laman sosial menyokong usaha mengibarkan bendera putih untuk meminta pertolongan.
Mereka juga berharap agar masyarakat mengambil berat jiran sekeliling dan bertanya khabar kerana ramai yang terkesan ketika pendemik ini. – Malaysiapost

