Sukarelawan terkejut 11 kampit beras tersusun dalam bilik penerima bantuan

0
2

SIKAP tidak bertanggungjawab seorang penerima bantuan mengumpul sumbangan keperluan harian mendapat perhatian selepas tular foto berkenaan tindakannya itu di media sosial sejak semalam.

Perkongsian pemilik akaun Facebook bernama Mohammad Fairuz memberitahu, dia mengetahui hal tersebut selepas menerima panggil daripada seorang wanita yang memohon bantuan keperluan makanan.

Menurutnya, reaksinya bertukar terkejut apabila melihat stok makanan yang banyak tersusun dalam sebuah bilik di rumah wanita itu.

Malah, katanya terdapat 11 kampit beras 10 kilogram (kg) yang ‘membukit’ dalam bilik tersebut.

“Apa la kakak ini. Telefon perlukan bantuan. Sekali selak (langsir) bilik ada 11 kampit beras 10 kilogram. Tak cukup ke makan untuk suami isteri dan dua anak,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Pada masa sama, Mohammad Fairuz yang juga sukarelawan berkata dia tidak berniat untuk menghebahkan maklumat mengenai penerima sumbangan itu kerana tujuan utama adalah untuk meluahkan rasa hati.

“Ramai orang hendak tahu mengenai kakak tersebut. Biarlah dia dengan Allah. Saya meluahkan rasa hati saja. Tiada niat hendak malukan dia. Kalau kita sayang dan jaga aib saudara kita Insya-Allah, Allah akan jaga aib dan sayang kita.

“Bukan semua bantuan akan diproses dalam seminit. Kami akan teliti baru kami gerak. Jadi harap faham. Insya-Allah lepas siasat kami akan cuba membantu semampu mungkin,” katanya yang aktif sejak lapan tahun lalu mengedar keperluan harian kepada golongan memerlukan di sekitar Kajang.

Semakan Malaysiapost di ruangan komen mendapati rata-rata netizen kecewa dengan sikap penerima bantuan yang mementingkan diri tatkala ramai yang terkesan semasa pendemik ini.

“Dah macam kedai runcit..harap dia terbuka hati nak sedekah untuk orang yang lebih memerlukan. Ramai lagi yang tak cukup makan.”

“Sikap tak bertanggungjawab. Barang makan pun nak tipu.” – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here