Polis tumpas sindiket judi bola sepak Euro 2020

0
3

POLIS Johor menumpaskan sindiket judi bola sepak Euro 2020 membabitkan nilai pertaruhan RM19.4 juta dalam serbuan di seluruh negeri itu sejak 10 hingga 26 Jun lalu.

Dalam serbuan itu, turut diberkas 51 individu berusia 18 hingga 54 tahun yang dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata sepanjang 16 hari Euro 2020 berlangsung, Jabatan Siasatan Jenayah (JSK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah melancarkan operasi khas dinamakan Op Saga 8 bagi membanteras kegiatan pertaruhan judi bola sepak.

“Pasukan khas digerakkan di peringkat kontinjen dan daerah untuk memantau, mengumpul maklumat risikan, menjalankan serbuan dan melakukan pemeriksaan terhadap kegiatan judi ini.

“Sebanyak 40 serbuan dan pemeriksaan dibuat dengan 51 individu ditahan kerana dipercayai terbabit sama ada sebagai ejen atau ‘bookie’ kepada sindiket pertaruhan.

“Jumlah nilai pertaruhan sindiket ini adalah RM19.4 juta dan wang tunai yang dirampas berjumlah RM35,000,” katanya dalam sidang media di IPK Johor hari ini.

Menurutnya, peralatan lain yang dirampas adalah telefon bimbit, komputer riba, modem, kad sim dan kertas catitan rekod pertaruhan.

“Semua yang ditangkap membabitkan sindiket pertaruhan secara atas talian menggunakan laman sesawang yang beroperasi dari luar negara dan terdapat 20 laman sesawang dikesan setakat ini.

“Kesemua suspek direman antara dua hingga empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 6 (3), Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1) Akta Pertaruhan 1993,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi digunakan sindiket ini adalah melalui tiga peringkat operasi iaitu ejen utama, ejen dan pemain.

“Setiap ejen utama mempunyai had pertaruhan sehingga RM1 juta dan ejen pula berperanan mencari pemain untuk taruhan melalui media sosial seperti WhatsApp, Wechat dan Telegram.

“Pemain akan diberi kata laluan untuk bertaruh di laman sesawang pertaruhan yang beroperasi di luar negara,” katanya.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil risikan serta maklumat orang awam dan pihaknya akan meneruskan operasi untuk baki perlawanan Euro 2020.

“Mungkin penghujung kejohanan ini akan lebih ramai lagi bertaruh dan nilai pertaruhan juga mungkin semakin tinggi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here