ADAKAH kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Parlimen akan terbubar secara automatik esok?
Perkara itu dibangkitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini susulan hangat didebat sekarang oleh ahli politik dan pakar perlembagaan iaitu keperluan dalam Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan bahawa Parlimen perlu bersidang semula dalam tempoh enam bulan sejak persidangan terakhir.
“Jika keperluan ini tidak dipatuh, Parlimen bakal terbubar secara automatik.
“Persidangan terakhir ialah pada 29 Disember 2020 maka Parlimen perlu bersidang pada 29 Jun 2021 (esok) sekiranya tidak ingin Parlimen terbubar secara automatik.
“Ada juga yang kata ini adalah antara mesej tersirat terkandung dalam titah YDP Agong dan Raja-Raja pemerintah pada 16 Jun agar Parlimen bersidang semua dengan segera untuk elak kerajaan PN terbubar secara automatik,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Ahli Parlimen Pekan itu menambah pihak pro-kerajaan PN pula berkata Perkara 55 tidak terpakai dan keperluan bagi had tempoh enam bulan untuk Parlimen bersidang semula telah tergantung kerana ia tidak boleh bersidang dalam tempoh Darurat.
“Bagaimanapun, YDP Agong telah bertitah pada 24 Februari bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh Darurat.
“Ini bermakna keperluan enam bulan di bawah Perlembagaan ini masih terpakai dalam tempoh Darurat melainkan ada yang tuduh YDP Agong telah terkhilaf.
“Namun perlu ingat bahawa Baginda bertitah demikian masa itu hanya selepas menerima menghadap Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Perlu ingat juga bahawa penasihat undang-undang utama kepada YDP Agong juga merupakan Peguam Negara,” katanya.
Najib berkata, ia bermaksud pihak yang berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong terkhilaf apabila memberi titah pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat juga menuduh Speaker Dewan Rakyat, Speaker Dewan Negara dan Peguam Negara telah memberi nasihat salah kepada Baginda.
“Sama-sama kita makan popcorn dan tunggu kesudahan kemelut terbaru negara ini,” katanya lagi. – Malaysiapost

