Langgar SOP, Tok Pa didesak letak jawatan

0
2

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed didesak meletakkan jawatan susulan dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata sebagai langkah terhormat, Ahli Parlimen Jeli itu perlu meletak jawatan kerana melanggar dasar yang dibuat kerajaan.

Menurutnya, sebagai seorang menteri senior, beliau sepatutnya tahu dan faham mengenai SOP, tetapi masih melanggarnya.

“Buat apa rakyat Malaysia ikut dan patuh SOP kalau menteri gagal dan langgar?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, sesiapa sahaja yang melanggar SOP patut dikenakan tindakan dan jangan ada tindakan ‘antara dua darjat’.

“Khususnya dalam kes Tok Pa, dia anggota Jemaah Menteri dan sebahagian dari kerajaan yang menentukan dasar, menetapkan dan menguatkuasakan SOP.

“Jika anggota Jemaah Menteri sendiri langgar SOP yang ditetapkan, apa mesej yang disampaikan kepada rakyat?’ katanya.

Terdahulu, tular gambar Mustapa dan pegawainya serta pemilik kedai berkenaan sedang menjamu selera di sebuah kafe di Jeli, Kelantan.

Gambar berkenaan dikatakan dimuat naik oleh pemilik kedai makan berkenaan di Facebook yang meluahkan rasa gembira atas kunjungan Ahli Parlimen itu di premis miliknya.

Susulan tindakan itu, gambar berkenaan tular dan dipertikaikan kerana wakil rakyat terbabit melanggar SOP apabila makan di dalam kedai, sedangkan ia dilarang dalam tempoh PKP.

Mustapa malam tadi memohon maaf atas pelanggaran SOP ketika mengunjungi sebuah kafe di Kalai, Jeli dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here