Sidang Parlimen secara fizikal atau hibrid, belum diputuskan

0
1

KERAJAAN belum memutuskan kaedah Parlimen yang akan bersidang secara fizikal atau hibrid, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Namun, beliau berkata, kaedah hibrid ialah pilihan sekiranya Parlimen tidak boleh dilakukan secara fizikal.

Katanya, kaedah hibrid ialah sebahagiannya hadir secara fizikal dalam jumlah tertentu, manakala yang selebihnya hadir secara maya.

“Bagaimanapun speaker baru mencadangkan kaedah hibrid kepada kerajaan. Dan kita belum memutuskan Parlimen bersidang guna kaedah mana.

“Parlimen dijangka bersidang akhir Ogos atau awal September sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan speaker kelmarin,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, hari ini.

Jumaa lalu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama memaklumkan, persidangan Parlimen secara hibrid dijangka diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.

Bagaimanapun, mereka turut menyatakan beberapa persiapan dari aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan bekalan perlu diperkemaskan terlebih dahulu untuk memastikan persidangan secara hibrid itu berjalan lancar.

Sehubungan itu, satu sidang khas Parlimen akan diadakan awal Ogos dengan andaian semua aspek perundangan mengenai persidangan alternatif berkenaan dapat diselesaikan akhir Julai dan sekiranya ia diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here