POLIS memburu dua lagi suspek disyaki terbabit dalam kejadian samun bersenjata parang di sebuah klinik gigi di Taman Melati, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata mereka dipercayai rakan kepada dua suspek yang ditahan di sekitar Wangsa, empat jam selepas kejadia kira-kira jam 6.30 petang.
Menurutnya, pemeriksaan pada suspek yang berusia 30 dan 32 tahun itu menemui sebuah kereta serta sebilah parang disyaki digunakan dalam kejadian.
“Semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah, mereka direman selama enam hari untuk membantu siasatan.
“Kami masih berusaha memburu dua lagi rakan mereka yang masih bebas di luar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, tular video empat lelaki menyamar sebagai pelanggan termasuk seorang bersenjatakan parang memasuki klinik gigi dan mengambil barangan berharga daripada petugas klinik serta premis itu yang dianggarkan bernilai RM10,000.
Menurut Ashari, polis telah membuka kertas siasatan bawah Sekyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun bersenjata.
Beliau turut meminta mereka yang mempunyai maklumat untuk menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.-Malaysiapost

