Lanjutan PKP tidak akan berhasil jika kekal ‘separuh masak’

0
1

“SAMPAI bila kita harus berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ‘kuncitara’ separa masak seperti ini?”, soal Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, memang sudah dijangkakan PKP disambung lagi, memandangkan kes harian negara bagi setiap juta penduduk adalah antara tertinggi di dunia dan pada angka menakutkan.

“Perkara itu semua kita tahu dan sedar. Dan kita tidak mempertikaikannya,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, punca utama penularan kes berlaku bukan disebabkan rakyat yang tidak patuh dan degil tetapi sebaliknya sektor perkilangan penyumbang utama, sementara kluster harian dari masyarakat awam adalah minimum.

“Namun, semua rakyat dikerah berkurung dengan tegas dan diminta bersabar dan terus bersabar.

“Data menunjukkan kilang-kilang dan sektor industri yang menjadi penyumbang utama peningkatan kes. Tetapi, merekalah anak emas yang mendapat banyak sekali kelonggaran dan dibenarkan beroperasi seperti sedia kala,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata, keadaan ini tidak ubah seperti meletakkan ubat pada tempat yang tidak pun sakit, sedangkan bahagian yang luka tidak pula merawat.

“Jawabnya sampai ke sudah situasi dalam negara tidak akan ‘sihat’ dan sembuh. Jika ini pendekatan yang dikekalkan, sampai tamat tempoh darurat nanti pun belum tentu keadaan akan bertambah baik,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menggesa kerajaan untuk melaksanakan segera beberapa perkara kritikal dan bukan hanya berterusan mengkaji.

“Pertama, pertambahan bantuan tunai/sara hidup kepada mereka yang terkesan. Sangat ramai yang sedang tertekan dan berada dalam keadaan yang kritikal. Tolonglah beri perhatian kepada mereka ini dengan segera.

“Kedua, uruskan negeri dan kawasan yang mempunyai kes yang begitu rendah dengan cara berbeza. PKP seluruh negara hanyalah jalan keluar yang culas, pukul rata dan menghukum semua pihak secara tidak adil.

“Ketiga, tolonglah semak dan pantau kilang-kilang serta sektor yang menjadi penyumbang besar kes harian. Mereka ini yang perlu difokuskan dengan tegas. Bukannya dengan terus mengurung seluruh negara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap ada pembaharuan dan penambahbaikan yang radikal semasa PKP yang disambung, termasuklah pemberian vaksin, memandangkan simpanan vaksin hampir habis dan bekalan baharu tidak diketahui bila akan tiba.

“Berhentilah melihat dan menguruskan pandemik ini dalam jangka 14 hari. Berfikirlah lebih panjang dan kritikal,” katanya. Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here